Friday, 15 December 2017

Surat: Bulan Pujaan Bintang



💙expressing my thoughts in bahasa melayu. here's to my first and to many more to come.


Bulanku,


Hatiku rapuh cuba mencapai dia. Aku memanggil dia bulan yang menerangi malamku dan setia disisiku pada sangkar masa terang mahupun malap, memberi aku ruang untuk bernafas. Dia juga bulan yang satu-satunya memancar pada waktu hening, sewaktu aku dibuai mimpi mahupun sewaktu aku bersujud kepada Tuhan yang Maha Esa. Dialah bulanku, yang biru. Namun, terkilannya aku apabila sedar semuanya adalah kata-kata doa aku sahaja.


Bulan biru yang hadir memperkenalkan aku ke jalan cinta namun lenyap lantaran menghantar aku ke jalan itu. Cahayanya aku dakap, tetapi mendung akibatnya dan bulan biruku lenyap begitu sahaja, hilang dalam dakapanku sendiri.


Adakah hati aku begitu sesat sehingga aku lemas dalam lautan kepercayaan bahawa aku mampu memiliki si bulan biru? Bulanku, aku adalah bintang yang sentiasa bergemerlapan disisi engkau namun tidak pernah engkau sedar. Bulanku, pahatkan dalam hati bahawa engkau bukanlah bulan yang sepi. Engkaulah bulan yang dihiasi rantai bintang-bintang dikeliling. Bukan takdir aku untuk memiliki engkau, barangkali aku milikNya seorang. 

Aku mencintai bulanku, tetapi kata-kata bulanku diselaputi kebenaran bahawa percintaan memerlukan dua insan yang saling menyayangi. Aku dihantar ke simpang jalan tapi apakah yang kita tahu tentang takdir? Luluh hatiku waktu ini namun tangis dan kesedihan itu pasti reda juga ibarat ribut. Selebat-lebat hujan, akhirnya akan teduh juga. Walaupun kini aku dibanjiri kesedihan, akan surut juga hatiku yang dihiris pilu ini. Biarlah hatiku menangis buat sementara waktu laksana tangis anak yang baru keluar dari ibunya, kerana aku percaya Maha Esa telah sediakan hidup yang lebih beruntung untuk segala kemaslahatanku. Jikalau cinta dia mampu pudar, begitu juga dengan pilu aku. 

Besar sekali pucuk harapanku hendak hidup dekat dia, tetapi cita-citaku itu kekal menjadi angan. Kepercayaanku itu menjadi dinding dan bukan pintu yang mampu dibalas ketukan cinta. Apakah yang aku mampu lakukan pada saat ini selain daripada meminta hajat dari Dia, Allah yang Maha Esa supaya diberiNya aku kebahagiaan dan dihentikan aliran air mata dalam apa sahaja keadaan. 

Bulanku, kata-kata aku tidak mampu lagi tercapai pada engkau. Walaupun begitu, apabila terdetik hati engkau dengan sayu serta ego engkau berolak-alik bersama hati, kesinilah kau kemari untuk membaca isi hatiku. Bacalah suratku ini. Dalam susunan surat-suratlah dapat diketahui perkataan-perkataan yang kias di luar dan pancung di dalam. 

Kini aku hanya mampu hidupkan bulanku dalam tulisanku kerana dia sudah lenyap dalam realiti. Lebih baiknya begini, biar aku yang mengawal fikiran dan imaginasi aku sendiri tentang persepsi.


Surat buat engkau sekali lagi daripadaku, 
Husna Anith

1 comment:

  1. Luahkan tangis mu jika mu bersedih. Tapi, simpan lah juga tangis mu kerana tangis mu sungguh berharga. Diriku turut berduka keatas kesengsaraanmu. Setiap bait-bait ayat mu, segala coretan beremosi mu turut ku rasai menusuk hatiku, terasa sakit jua. Ingatlah husna, seperti engkau melingkari bulan birumu dengan cahaya indah berkilauan bak wajahmu, seperti itu juga ada orang-orang di sekeliling mu yang bertindak seperti bintang bintang yang terang benderang merelakan diri menerangi hidupmu agar dirimu terus bahagia dan ceria sentiasa. Ingatlah pesan diriku yang kerdil ini, engkau juga bulan biru orang orang lain yang sangat menyanyangimu maka jangan lah engkau malapkan cahaya biru mu kerana cahaya mu itu punca kuasa maraknya cahaya bintang bintang yang sedia menyinar untukmu. Penutup kataku, janganlah dikau berduka, terus lah bergembira kerana aura riang mu menjadi idaman dunia. Maaf juga ku pinta dek buruknya lentok bahasaku, tidak dapat ku tandingi indahnya bahasamu. Padanlah dengan rupa paras cantikmu

    ReplyDelete